Anak Di Alam Remaja. Terkesankah Didikan Quran Kita Ketika Kecil Dahulu?
Alhamdulillah telah masuk Surah Al Hajj kami anak beranak pada malam semalam. Manisnya membaca al Quran dalam bulan Ramadhan. ‘Rasa lain mama! Best sangat kita buat begini’ itulah kata anak anak saya tentang aktiviti al Quran kami Ramadhan kali ini.
Kenapa mereka kata begitu?
Untuk Ramadhan kali ini kami membaca al Quran dan terjemahannya sebanyak 20 lembaran setiap malam bermula dari Ramadhan pertama. Ya… Al Quran dan TERJEMAHANNYA!
Saya membawa kelainan pada Ramadhan kali ini melihatkan mereka sudah menguasai Bahasa Malaysia dan juga sudah banyak vokab yang mereka ketahui berbanding umur mereka 3-7 tahun dahulu. Usia tersebut mereka hanya sibuk menghafal al Quran sahaja.
Adakala mereka membaca dan kemudian terdiam tunduk berhenti. Kemudian terus membaca dengan suara tersekat-sekat dengan ayat amaran. Ada juga ayat yang mereka baca dan berhenti untuk bercerita kepada saya tentang kejadian yang mereka/kami lalui dan kaitkannya dengan ayat yang mereka sedang baca.
Kelihatan harapan saya supaya mereka mengetahui, memahami, menghayati isi al Quran yang mereka hafal tercapai Ramadhan ini. Al Quran dan terjemahannya dibaca bergilir-gilir antara kami. InsyaAllah penguasaan Bahasa Malaysia mereka juga akan meningkat seiring dengan pemahaman al Quran sehabisnya Ramadhan nanti. 

Saya masih ingat diri saya sendiri ketika kecil dahulu. Saya yang sulung bersama adik beradik 8 orang, berusaha sedaya boleh mengelak dari disuruh ibu membaca al Quran. Membaca sehelai lembaran pun cukup lelah. Punya banyak helah. Risau takut jika baca salah nanti hukumannya – sakit. Sebab itu kami mengelak membaca al Quran.
Ya Allah ampunilah dosaku dahulu. Sesungguhnya rahmat Allah itu melimpah ruah pada saya dan keluarga saya ini. Jika tidak, tentu anak saya mengulang perbuatan saya mengelak membaca al Quran walau sehelai lembarannya sama ketika saya kecil dahulu!
Ia sesuatu yang cukup memalukan diri sendiri tetapi saya tetap mahu kongsikan kepada orang ramai kerana saya ingin ibubapa lain mengambil pelajaran darinya. Dengan izin Allah, kerana usaha kita mendidik anak dari bayi menghafal al Quran, insyaAllah mereka membesar terbiasa dengan al Quran. Membaca al Quran atau/dan terjemahannya bukan sesuatu yang berat pada mereka jika mereka telah melakukan yang lebih berat dari itu iaitu..menghafalnya.
Saya yakin al Quran membentuk anak saya untuk menjadi seorang yang mudah mendengar kata. Mudah untuk saya nasihati. Terkesan jika diingatkan kesalahan mereka menyalahi al Quran atau Hadis. Dengan muka bersalah, akan duduk di suatu sudut mengumpul keberanian diri untuk meminta maaf. Hanya sebut al Quran. Mereka tidak perlu dipukul.
Jangan salah faham. Mereka bukanlah orang yang mudah dibuli. Malah, boleh saya katakan anak saya itu tinggi yakin dirinya bila diluar sana. Dalam pada yang sama, dia tahu setiap kejayaannya hanya dengan izin Allah dan sentiasa ingat riak dengan kehebatan dirinya itu adalah syirik kecil.
Fasa remaja adalah fasa ego. Fasa mahu membentuk identiti sendiri. Namun ego itu terbendung kerana mereka membesar dengan al Quran dan memahami isi al Quran itu.
Saya masih ingat perdebatan saya dengan segelintir ibubapa yang tidak bersetuju saya menyampaikan idea mengajar anak menghafal alQuran dari kecil. Hujah mereka adalah kenapa tidak menunggu mereka boleh membaca dan faham terjemahan barulah diajar menghafal supaya mereka tahu maksud apa yang mereka hafal? Tidak kasihankah anak menghafal dgn cara paksaan (kerana mereka masih kecil dan tidak boleh kata tidak). Kasihan dan sia sia menghafal kerana mereka tidak faham apa yang dihafal. Belasan tahun adalah waktu yang disarankan mereka. Lihat sahaja pusat tahfiz, kebanyakkan mereka menerima umur belasan tahun.
Oh.. waktu belasan tahun ini mereka sudah punya banyak akal. Sudah punya banyak keinginan duniawi! Banyak helah dan alasan untuk setiap yang disuruh oleh ibubapa. Alam memberontak. Jika dilihat diluar sana, anak umur ini ada yang menzahirkannya kerana ‘berani’ dengan ibubapa mereka. Ada yang hanya memendam hingga jadi dendam. Usia ini kebanyakkannya lebih mengutamakan kawan dari ibubapa.
Syukur saya tidak pernah terfikir untuk berhenti. Manisnya Ramadhan kali ini. Anak saya sudah remaja, belasan tahun kedua-duanya dan mereka masih berdamping dengan al Quran.
Semoga kami bertemu dengan Lailatul Qadar dalam keadaan begini.
UNTUK MEREKA YANG PUNYA ANAK KECIL DAN INGIN MEREKA MUDAH MENGHAFAL AL QURAN BOLEH LAKUKAN PERKARA DIBAWAH:
1. Ketika bayi, jangan lelah memasang al Quran. Tekan butang play dan repeat surah yang mereka mahu hafal. Untuk bayi saya sarankan CD Audio Adik Ahmad Saud 30 surah terakhir. Kanak-kanak akan tertarik dengan bacaan al Quran kanak-kanak lain.
2. Mainkan Flashcard pada umur mereka 6 bulan keatas
3. Pasangkan VCD Video flashcard Al Quran perkata Juz Amma. Stimulasi Audio di langkah 1, diperkuatkan dengan stimulasi visual di langkah 3 ini.
4. Hiasi dinding dengan flashcard ketika mereka masih dalam fasa belajar membaca al Quran
5. Guna set Al Furqan setelah mereka mengenal semua huruf flashcard.
6. Jangan kedekut untuk memberikan ganjaran atau hadiah jika mereka selesai mempelajari pelajaran yang ditentukan.
7. Selesai fasa belajar membaca, fotostat dan laminate 30 surah terakhir dan ajar mereka membacanya dan seterusnya menghafal. Ia mudah untuk dihafal kerana mereka telah diperdengarkan dari bayi dalam langkah 1 dan kemudian langkah 3 tadi.
8. Untuk menghafal surah pilihan, guna CD teknik Chunking dimana ayat dipotong pendek dan diperdengarkan berulang-ulang sehingga hafal.
Bahan dan alatan untuk langkah 1-7 ini, ada di eshop
(Artikel ini pernah dikongsikan di FB pada tahun 2020 dengan link seperti dibawah)