Saya tahu Darwisya sedih. Keluar saja dari biliknya, mukanya merah. Hidungnya lebih merah lagi. Matanya masih berkaca. Darwisya masuk ke bilik dari tadi kerana tidak mahu menerima kenyataan bila saya katakan anak kucingnya yang bernama Strawberry, berumur 7 hari, yang masih belum terbuka matanya itu, sudah tidak bernafas lagi.

Kucing yang bernama Strawberry yang telah tiada adalah kucing yang berwarna oren dalam gambar.

Darwish pula terdiam dari tadi. Tidak berkata apa semenjak Darwisya masuk ke bilik. Kelihatan dari tadi fikirannya melayang kerana matanya tidak berkedip dan dia duduk  di tempat yang sama dan tidak bergerak seakan termenung.

Saya tidak menjangka mereka akan sesedih itu bila kematian anak kucing yang baru saja mereka kenal 7 hari lepas, yang lahirnya di rumah kami. Ibunya adalah kucing yang tidak tahu asalnya dari mana menjadikan rumah kami tempat berteduh dan berkongsi makan semenjak 1-2 bulan lepas. Bermakna ‘attachment’ dengan kucing ini masih baru. Tetapi kesan kehilangannya agak berat kepada mereka. 

Kenapa saya kata berat? Kerana malam tadi, malam Jumaat, Darwish dan Darwisya bangun sebelum subuh. Pertama kalinya mereka bangun sebelum saya bangun! Kedengaran mereka berdua membacakan Yasin, dan surah al Mulk bersama-sama sebelum mereka membaca surah al Kahfi untuk diri mereka sendiri. Selesai saja mereka membacanya (secara hafazan) kedengaran azan Subuh berkumandang dan mereka pun beredar dari tempat pembacaan untuk solat subuh.

Saya tidak mahu bertanya tetapi saya rasa mungkin Yasin dan al Mulk itu adalah untuk anak kucing mereka yang mati itu. Saya tahu kenapa mereka membacakan Yasin untuk anak kucing mereka. Ini kerana adanya ayat 57 dalam surah itu. 

Firman Allah S.W.T:

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ

Maksudnya: Buat mereka (para penghuni syurga) buah-buahan di dalam syurga dan buat mereka apa sahaja yang mereka minta. (Yasin,57)

Mereka mahu meminta anak kucing itu dipertemukan dengan mereka disyurga nanti. 

Kerana mereka tahu hadis dari Abu Hurairah R.A:

إن الله يحشر الخلق كلهم، كل دابة وطائر وإنسان، يقول للبهائم والطيركونوا ترابًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah’’.-Tafsir Al-Thabari 24/18

Semua akan menjadi debu tanah kecuali jika mereka meminta disisi Allah akan apa yang mereka mahu itu tidak menjadi tanah tetapi menjadi teman mereka di syurga nanti. Untuk penghuni syurga, segala telah disediakan kepada mereka apa sahaja yang jiwa mereka mahukan serta keindahan-keindahan buat pemandangan mereka.  Semoga kesedihan mereka tidak berpanjangan. Semoga mereka sentiasa mengimpi dan memburu syurga sepanjang hidup mereka.

Saya mula terfikir, jika anak kucing yang baru mereka kenal 7 hari itu mati.. mereka sudah bersedih begini, bagaimanakah jika yang mati itu adalah saya, ibu mereka? Terus mengalir air mata saya kerana saya benar-benar tidak mahu mereka sedih begitu. Kerana saya sendiri bersedih apabila melihat mereka sedih. Saya sendiri menangis melihat mereka menangis kerana kucing mereka mati. Untuk pengetahuan, saya telah menyorok menangis di tempat yang tiada mereka.. lari dari mereka. Kenapa saya tidak mahu mereka lihat saya menangis? Saya sendiri pun tidak tahu kenapa. Saya menangis bukan kerana kucing mati seperti mereka. Saya menangis kerana melihat mereka menangis! Adakah  ibu lain juga ada seperti itu? Ketika itu saya berdoa.. Ya Allah janganlah engkau beri kesedihan kepada mereka yang aku sayangi dengan kematianku nanti. 

Sempena hari Jumaat ini, marilah kita sama-sama  berdoa supaya kita diberi kematian Husnul Khatimah. Kematian yang baik. Semoga kematian yang baik ini tidak membuat mereka terlalu sedih berpisah dengan kita kerana mereka mengetahui kesudahan yang baik itu adalah impian setiap orang beriman. 

Dalam sedih saya melihat musibah yang mereka alami ini, terus terang saya katakan saya bersyukur melihat tindakan mereka yang menampakkan hubungan mereka dengan al Quran. Saya menarik nafas lega kerana dapat membayangkan bagaimana jika saya mati nanti. Semoga mereka sentiasa membaca Al Quran untuk diri mereka sendiri. Kerana pahalanya akan tetap mengalir kepada saya jua kerana saya yang mengajarkan mereka al Quran itu. 

Gambar di bawah hanya tinggal kenangan. Sekarang hanya ada 3 ekor sahaja. 

Pembahagian Kucing 4 ekor. 2 ekor Darwisya dan 2 ekor Darwish.