Ulama dahulu selalu berpesan :
 
“Berhati-hati dengan perkara kecil tapi kesannya besar”
 
Perkara kecil tapi kesannya besar dalam konteks sekarang adalah melayari Internet.
Bila anak semakin membesar, ibubapa semakin segan untuk curiga dengan anak atau mungkin terlalu bersangka baik pada anak hingga tidak mahu memikirkan perkara negatif itu akan berlaku kepada anak mereka.
 

Saya terbaca kisah yang dikongsikan oleh Dr Anayasmin Azmi tentang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang melecet kemaluannya kerana selalu digeserkan setelah teruja dengan bahan pornografi internet. Jika anak umur 3-5 tahun, bolehlah kita letakkan parental control. Tapi bila mereka sudah remaja, mereka lebih pandai dari kita. Boleh baca post beliau dibawah

 
Saya berpesan pada diri saya sendiri :
 
1. Ingatkan anak-anak tentang pesan ulama diatas.
2. Ingatkan anak untuk membaca doa dibawah ini sebelum melayari internet.
3. Cerita pada anak bahaya pornografi yang membawa ketagihan dan menelan masa depan yang cerah. (diulas dibawah)
4. Baca dan fahamkan bersama anak ancaman/hukuman yang Allah sebutkan tentang perkara ini dalam Surah An Nur (disenaraikan ayat berkaitan seperti dibawah)
5. Bawa berita gembira kepada anak tentang syurga jika mereka tetap berada didalam kalangan orang yang beriman seperti yang disebut dalam surah al Waqiah (disenaraikan ayat berkaitan seperti dibawah)
 
DOA SEBELUM MELAKUKAN SESUATU PERKARA TERUTAMA YANG JELAS BOLEH MEMBERI KEBAIKKAN ATAU KEMUSNAHAN SEPERTI INTERNET
 

وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِى مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِى مُخْرَجَ صِدْقٍ وَٱجْعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلْطَٰنًا نَّصِيرًا

(Al-Isra : 80
 
“Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia, dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”
(Al Isra, 80)
 
Kongsikanlah dengan anak ayat istimewa ini sebelum membuka internet. Internet adalah perkara kecil tetapi kesannya besar.
Doa ini sangat penting diamalkan bila kita akan keluar atau masuk sesuatu tempat/perkara bagi mengelakkan perbuatan tersebut tidak kerana Allah. Jika apa yang kita lakukan bukan kerana Allah, datanglah leka, lambat, tersesat atau apa yang mahu dilakukan pada mulanya, tidak terselesai.
Jika apa yang kita lakukan kerana Allah, insyaAllah niat ikhlas ini Allah bantu dengan menjaga kita dari gangguan ke arah yang menyesatkan di internet.
 
Satu kajian yang dilakukan oleh University of California, Irvine mendapati purata gangguan oleh seseorang yang tidak fokus ketika membuka komputer dengan akses internet adalah 11 kali dalam sejam. Pernah berlaku tak bila buka pc nak buat benda lain, tapi habiskan masa untuk benda lain?
Leka dan lalai ke halaman internet lain inilah yang digunakan oleh syaitan untuk menarik kita ke halaman yang membuang masa dan pada akhirnya ke halaman pornografi. Melemahkan generasi Islam masa depan bagi persiapan kedatangan Dajjal.
 
CERITAKAN PADA ANAK TENTANG BAHAYA PORNOGRAFI
Ceritakanlah kepada anak tentang bahaya pornografi yang boleh melemahkan daya ingatan (IQ), suka berkhayal dan perbuatan yang jelas mendekatkan diri kepada dosa zina atau jenayah rogol.
Ada 83 kertas kajian setakat ini telah dilakukan di barat tentang bahaya pornografi termasuk membawa gejala kemurungan, kerosakan mata, melemahkan mental dan fizikal, isolasi (tidak suka berkawan/beraktiviti) dan sebagainya
Ceritakan berapa ramai remaja yang musnah masa depannya kerana dosa dan jenayah ini. Di akhbar tempatan, yang masih bersekolah rendah (Darjah 6) sudah hamil kerana zina sesama baya. Yang punya masa depan untuk melanjutkan pelajaran tetapi terpaksa ke pusat pemulihan akhlak.
 
BACA DAN FAHAM SURAH AN NUR
Hukum ZINA [ayat 2-3]
Hukum QAZF [ayat 4-5]
Hukum LI’AN [ayat 6-10]
JAGA MATA [ayat 30] — konteks pronografi
JAGA AURAT [ayat 31]
 
INGATKAN TENTANG SYURGA BAGI ORANG YANG BERIMAN
Kongsikan pada anak, bukan sahaja tentang hukuman dan ancaman Allah malah berita gembira iaitu syurga bagi orang yang beriman seperti yang di sebut dalam surah al Waqiah
Tiga golongan di Akhirat [Ayat 1–13]
Nikmat dalam syurga [Ayat 14 – 27]
Golongan Kanan [Ayat 28 – 49]
Seperti banyak perkara perlu dilakukan dan dikongsikan dengan anak bukan? Percayalah ianya adalah pelaburan masa yang tidak dapat di beli dengan wang ringgit dan mempunyai kesan jangka panjang yang menenangkan hati kita. Semoga kita dan anak kita kekal selamat dunia akhirat.
===============================================
Disclaimer : Saya bukan seorang ustazah. Perkongsian ini adalah cara ‘parenting’ saya pada anak-anak saya untuk hal yang satu ini. Jika ada kekurangan/kesilapan dalam perkongsian ini saya alu-alukan pembetulan dari mereka yang lebih arif.
Artikel ini pernah disiarkan di fb saya di link dibawah :