.
Hari ini adalah hari Khamis malam Jumaat. Saya sudah bersiap untuk tidur kerana malam ini jam 5 pagi saya akan bangun seperti biasa bersama anak-anak. Anak saya sebelum tidur berkata.. “harap2 esok bila kita bangun akan ada hujan turun ya Mama? Boleh kita main hujan sama-sama lagi”.
Sebelum terlupa ilmu mandi hujan yang keluarga saya amalkan ini, saya korbankan waktu tidur saya untuk menaip tentangnya bagi dikongsikan pada orang ramai yang berminat.
Ya.. kami bermain di bawah hujan pada pukul 5am minggu lepas. Tiada suara kebisingan. Hanya bunyi hujan turun. Hanya bunyi alam semulajadi yang dikategorikan sebagai ‘Pink Noise’.
Apa itu ‘Pink Noise’? Menurut Dr Phyllis Zee, Profesor Neurologi di Northwestern University Feinberg School of Medicine, ‘Pink Noise’ mempunyai kesan meningkatkan memori pada mereka yang berusia lebih tua dan mengekalkan/menguatkan memori oleh mereka yang muda. Pink Noise ini terdapat pada suara yang dikeluarkan oleh alam semulajadi seperti guruh, angin, air hujan, air terjun, ombak laut dan sebagainya. Zaman sekarang banyak syarikat memasang pink noise di pejabat bagi meningkatkan produktiviti dan prestasi serta mengurangkan tekanan pekerja mereka.
Selain itu, air hujan ini juga mempunyai kesan perubatan secara fizikal. Hujan yang telah turun 15-30 minit airnya bersih dan menyegarkan. Di Barat ia dipanggil ‘electroshock therapy.’ Air hujan mempunyai banyak ion negatif. Bak kata omputeh.. ‘Negative Ion give you Positive Vibes’. Bagus untuk mereka yang mengalami tekanan atau depresi. Air hujan yang sejuk ini akan menghantar banyak elektrik impuls ke otak. Ia meningkatkan tahap kewaspadaan, fokus dan aras tenaga. Untuk kulit pula, ia menenangkan kegatalan kulit dan menyihatkannya. Hormon Endorfin yang dipanggil ‘happy hormon’ juga dilepaskan dalam tubuh.
Dari segi spiritual, ianya dapat mengeluarkan penyakit yang tidak nampak. Banyak pusat perubatan Islam menggunakan air hujan untuk mengubati pelbagai penyakit. Mulakan dengan membaca bismilah, zikir dan doa-doa amalan. Ia akan mengeluarkan apa-apa yang tidak sepatutnya di tubuh kita. Jika kita demam selepas mandi hujan ini, ia bukan salah hujan, tetapi salah tubuh kita yang mempunyai masalah batin. Ia perlu diulang 3 kali mandi. Bukan mudah menunggu hujan Khamis malam Jumaat ni. Maka jika hujan, jangan bangun dan tidur semula. Memang sedap tidur dalam keadaan hujan diluar rumah. Lagi ke atas selimut ditarik. Tapi rugilah mereka yang tidak mengambil peluang itu. Berdoa pada Khamis malam Jumaat, ketika hujan turun dan dalam keadaan Rahmat dan berkat Allah ini menyentuh tubuh kita pula tu.
Hujan merupakan salah satu rahmat yang diturunkan dari langit oleh Allah S.W.T kepada sekalian hamba-Nya. Ia termasuk dalam kalangan air mutlak yang tujuh serta bersifat suci lagi menyucikan. Ia disifatkan sebagai salah satu keberkatan yang membawa bersamanya kebaikan yang banyak Allah S.W.T berfirman :
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا
Maksudnya : Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.
Surah Qaf (9)
إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِّنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّن السَّمَاء مَاء لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذْهِبَ عَنكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَى قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقْدَامَ
(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).
Surah Al Anfaal (11)
Ketika hujan turun ia termasuk salah satu waktu yang dianjurkan untuk berdoa. Umumnya, seseorang itu disunatkan untuk berdoa sebaik sahaja hujan turun sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata :
فَإِنْ مُطِرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا هَنِيئًا
Maksudnya : Adalah Rasulullah S.A.W apabila hujan baginda akan membaca : Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.
Riwayat Al-Nasa’ie (1523)
Manakala apabila hujan telah berhenti, disunatkan kepada kita membaca sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Zaid bin Khalid al-Juhani R.A :
مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ
Maksudnya : Kami dilimpahkan hujan dengan fadhilat dan rahmat daripada Allah.
Riwayat Muslim (71)
Yang terbaik adalah hujan malam Jumaat. Berkat hari dan berkat hujan. Hingga kecut tangan kami bermain hujan minggu lepas. Kami juga dapat satu jag air untuk dibuat minum. Semoga malam ini hujan lagi.
Kredit to Ustaz Zulkiflee