Bersukan Mencerdaskan Minda, Menguatkan Fizikal dan Mengurangkan Stress Pada Ibubapa
Sukan membolehkan anak-anak aktif pada siang hari, menggunakan tenaga mereka dengan lebih bermanfaat dari mengerjakan sesuatu tanpa objektif seperti berlari dan melompat tidak tentu arah didalam rumah. Ianya bagus untuk anak-anak yang hyperaktif seperti anak-anak saya, yang suka bergerak dan tidak boleh duduk diam. Habis segala apa yang nampak dipanjat dan dicuba. Bagi saya, sukan memudahkan saya mengurus mereka kerana bila mereka letih bersukan, mereka akan lebih tenang (sebab kepenatan). Mereka juga boleh tidur dengan lebih baik pada malam hari. Kajian juga menunjukkan sukan membuat mereka lebih cerdas… sihat secara mental.
Lihatlah video sebelah. Darwish tak padan dengan kecik… nak join jugak abang sedara berlawan. Mungkin dari sini dia minat seni mempertahankan diri dan meminta saya mendaftarkannya.pada umur 4 tahun.
Kajian terkini mendapati bahawa peningkatan tahap aktiviti fizikal secara langsung berkait rapat dengan prestasi sekolah, terutama dalam bidang matematik, membaca dan menyimpan maklumat (termasuk hafazan)
Penglibatan sukan bukan sahaja mendedahkan anak kita dengan kemahiran fizikal baru. Sukan mengajar kanak-kanak pasang surut dan kalah menang dalam kehidupan. Seperti juga kehidupan, sukan juga memerlukan persedian dan latihan. Seterusnya memasuki pertandingan sukan pula, mendedahkan mereka akan harapan dan kekecewaan, gembira dan duka. DDari sini mereka belajar mengawal emosi mereka dan menyalurkan perasaan negatif dalam kehidupan mereka dengan cara yang positif.
Permulaan saya memilih sukan mana untuk anak saya adalah kerana satu insiden yang berlaku di tepi kolam renang condo tempat kediaman saya.
Pada suatu hari di kolam renang, selepas Darwish dan Darwisya menghabiskan masa yang agak lama berenang, sambil saya dan suami berbual di tepi kolam tersebut, mereka pun mahu naik. Tiba-tiba seorang budak lelaki bertubuh gempal dan lebih besar dari Darwisya dan Darwish, menarik swimcap Darwisya! Oleh kerana ianya adalah baju renang muslimah dimana swimcapnya itu bercantum dengan leher bajunya, maka bila ia ditarik dari belakang dengan kuat, tercekiklah lehernya dari depan. Darwisya menjerit meminta tolong.
Suami saya bingkas berlari untuk menyelamatkannya. Adik lelakinya, Darwish yang berada berdekatan, cuba melepaskan kakaknya dengan memukul tangan budak lelaki tersebut beberapa kali. Tetapi apalah sakitnya jika seorang kanak-kanak 4 tahun yang memukul? Ibarat memukul nyamuk ditangan rasanya. Budak lelaki itu pula menolak dan membenamkan kepala Darwish. Mujur suami saya cepat dan memarahi budak tersebut. Saya rasa ketika itu marah saya tidak dapat tertahan-tahan rasanya. Mana mungkin saya boleh menahan marah apabila melihat kedua-dua anak saya diperlakukan begitu didepan mata saya sendiri. Bagai ibu singa yang telah diusik, saya memandang budak itu dengan mata dan muka yang marah. Tetapi budak itu, kelihatannya sedikit pun tidak nampak takut malah menjelirkan lidahnya kepada saya. Astaghfirullah.. Bila ternampak saja dia berbuat begitu, saya berkata dalam hati, syaitan sedang cuba menyimbah minyak pada rasa marah saya supaya ia lebih marak lagi. Saya sibukkan diri saya dengan memujuk Darwisya yang sedang menangis..
Nasihat saya kepada ibubapa diluar sana, jika anak-anak kita berada di kolam renang, perhatikanlah mereka walaupun mereka sudah tahu berenang. Kemungkinan kanak-kanak nakal yang lebih besar dari anak-anak kita, tidak berfikir tentang akibat perbuatan nakal mereka boleh mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anak kita. Akibat dari kejadian itu, Darwisya demam panas selama 2 hari. Darwish pula bercerita tentang kejadian itu dengan berkata, dia mahu jadi kuat supaya dia boleh menyelamatkan kakaknya daripada disakiti jika kejadian itu berulang lagi…
Kejadian tersebut membuatkan saya berfikir bahawa kemungkinan Allah menghantar budak lelaki nakal tersebut kepada kedua-dua anak saya untuk mengubah pendirian saya terhadap permintaan Darwish selama ini.
Dari Abu Hurairah dia berkata Rasulullah SAW bersabda:
‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah).
(HR Muslim No: 4816)
Saya memohon kemasukkan ke kelas Karate ketika Darwish berumur 4 tahun. Darwish adalah pelajar karate paling kecil. Sebelum diterima masuk, sensei Karate tersebut berkata dia perlu melihat anak saya dulu sebelum menerimanya. Jika kanak-kanak itu boleh mengikut kata. Bermaksud .. dia tidak berlari kesana kemari jika sedang dalam latihan. Setelah di temuduga kedua2 anak saya, beliau menerima keduanya. Alhamdulillah sejak dari itu dia mempelajari Karate hingga terakhirnya memperolehi Brown Belt. Selepas itu kami pun berpindah. Ditempat baru tiada kelas Karate. Jika tidak, selepas Brown Belt tentulah Black Belt.
Kelas Karate seminggu sekali. Dalam masa yang sama, mereka juga ke kelas renang yg juga seminggu sekali tapi pada hari berlainan.
Kelas renang saya mulakan setelah anak saya memperolehi ‘Water Confidence, seperti di video sebelah ini. Saya sarankan sesiapa yang berminat untuk menghantar anak ke kelas renang, pastikan anak sudah tidak takut air. Jika tidak, kita akan membayar yuran kelas renang hanya untuk anak memberanikan diri masuk ke dalam air. Semasa saya menghantar anak ke kelas renang dulu, saya lihat kesilapan ini sebenarnya agak berat pada poket jika kita sebenarnya boleh melakukan sendiri bersama anak.
Sebelum terlibat dalam sukan aktiviti renang dan Karate, masa aktif diluar untuk mereka adalah ke Taman Permainan setiap petang. Disitulah mereka kenal dengan kasut roda dan kemudian itu membawa mereka ke kemahiran ice skating. Dipendekkan cerita, saya rangkumkan dalam video ini. Sukan ini adalah hanya suka-suka sahaja. Lebih baik mereka aktif begini dari duduk main game atau menonton TV dirumah.