Bukan mudah memulakan homeschooling di zaman saya membesarkan anak dulu. Ketika itu ‘homeschooling’ atau ‘anak tidak disekolahkan’ adalah satu perkara yang asing dalam masyarakat. Ramai yang kelihatan ‘kasihan’ dengan anak-anak saya yang tidak ke sekolah. Apa lagi ‘bisik-bisik’ kaum keluarga dan saudara mara. Saya tidak salahkan mereka kerana saya pasti niat mereka adalah merasa bimbang dengan masa depan anak saya.
Pada mulanya, keputusan untuk homeschool ini sebenarnya mendapat tentangan dari suami saya sendiri. Sebagai seorang isteri, saya perlu menurut kata suami. Maka, ketika anak sulung saya berumur 7 tahun, dia dihantar ke sekolah. Setiap hari dia pulang dengan aduan. Dia akan mengadu betapa bosannya ke sekolah kerana guru-guru mengajar apa yang dia sudah tahu.
Saya tahu, dalam pelajaran akademi, bukan saya seorang sahaja yang mengajar anak awal.. Ada yang menghantar anak ke Early Child Enrichment Centre yang akhirnya anak mereka berada terkehadapan berbanding anak-anak lain pada waktu mereka ke Tahun 1. Bila mereka kata mereka tidak suka bersekolah, tentu ada sebabnya. Mungkin apa mereka alami adalah sama dengan apa yang anak saya alami. Jom lihat silibus pelajaran Tahun 1 dan analisa tahap kebolehan anak kita sebelum membuat keputusan.